28 June, 2012

Pelawat dari Hong Kong


Hari ini pada 28hb Jun 2012, SMK Bahang Penampang telah dilawati oleh 33 orang pelajar dan guru dari Hong Kong. Pihak sekolah telah menyambut dengan meriah kedatangan mereka dengan ucapan, pertukaran hadiah cenderahati, persembahan-persembahan, jamuan ringan dan lawatan ke tapak sekolah. Pelajar-pelajar Kelab Leo dan pelajar-pelajar lain yang terpilih untuk bersama mereka, telah membentuk persahabatan dengan berkongsi tentang Malaysia dan kesedaran tentang alam sekitar. Terima kasih kerana telah memilih SMKB! 

























25 June, 2012

Soka Gakkai ~ Seed of Hope


Pameran dengan pendedahan terhadap betapa pentingnya alam sekitar terhadap manusia telah diadakan di SMK Bahang Penampang pada hari ini dan esok. Sebanyak 24 booth poster dipamerkan dan diberi penerangan tentangnya. Setiap booth telah dikunjungi oleh pelajar-pelajar dan juga tayangan video mengenainya. SMK Bahang akan dikunjungi oleh sekolah-sekolah lain untuk melawat pameran ini esok. 










18 June, 2012

10TH DISTRICT 308-A2 LEO FORUM 2012











10TH DISTRICT 308-A2 LEO FORUM 2012

Pada 5 hingga 7 Jun yang lepas, Leo Club sekolah kita telah menghantar seramai 8 orang wakil untuk menyertai 10th District 308-A2 Leo Forum yang melibatkan Leo Club dan juga Lions Clubs Antarabangsa. Forum ini telah diadakan di daerah Keningau, Sabah. Hotel Perkasa Keningau merupakan tempat penginapan dan juga merupakan tempat utama forum. Secara keseluruhannya, seramai lebih 500 peserta telah mengambil bahagian, dan 434 daripadanya merupakan ahli Leo Club seluruh Malaysia, dan juga negara jiran. FOCC atau Forum Organizing Chairperson pada tahun ini ialah Leo Anthony Sia dari SM Chung Hwa, Tenom. Beliau merupakan Presiden bagi Leo Club di sekolahnya. Tema pada tahun ini ialah “Our world, Our future”. District Governor bagi tahun 2011-2012 ialah Lion Dr. Tan Tsu Kun.

Ahli-ahli Leo Club sekolah kita yang telah mengambil bahagian dalam forum ini adalah;-

Presiden Ashley Richard
Timbalan Presiden Jeremy Joseph Ryman
Setiausaha Audrey Richard
Timbalan Setiausaha Mark Low
Timbalan Bendahari Jacquelina Jumper
Annabel Liew
Edrina Edward Tendahal
Eugene Lee

Pada hari pertama forum, kesemua ahli, kecuali Jacquelina Jumper telah berkumpul di Stesen Bas Bandaran Berjaya KK untuk menaiki bas ke Keningau.  Jacquelina Jumper telah pun berada di daerah tersebut lebih awal dengan menggunakan pengangkutan sendiri. Lion Aloysius Yong dan Lion Melvin Disimon dari Lions Club of KK Penampang telah membantu kami dan telah bersama dengan kami sepanjang forum tersebut berlangsung. Setibanya kami di Hotel Perkasa Keningau, kami diminta untuk mendaftar dan mengambil kunci bilik masing-masing. Ahli Leo Club lelaki berada dalam bilik yang sama dan ahli perempuan dalam bilik yang sama. Kami telah berkongsi bilik dengan ahli Leo Club asing kerana setiap bilik dapat memuatkan 6-7 orang. Kami juga telah diberikan Forum Kit yang merupakan sebuah ‘sling bag’, sijil penyertaan, kad pengenalan, ‘souvenir pen’, dua botol air, makanan ringan dan beberapa paket ‘nescafe’.

Aktiviti pertama merupakan ‘ice breaking’, di mana kami telah berkenal-kenalan dengan ahli-ahli yang lain termasuklah yang datang dari luar Negara. Kami juga telah diberi taklimat mengenai forum ini serta peraturan-peraturan yang harus dipatuhi. Kami juga telah diberi sedikit sebanyak informasi mengenai anugerah-anugerah yang yang dapat diperoleh pada tahun hadapan serta kriteria-kriterianya. Kesemua ahli telah diberi kumpulan masing-masing dan setiap kumpulan mempunyai ahli yang berasal dari daerah dan negeri lain.

Pada malam hari pertama tersebut, upacara perasmian telah mengambil tempat di dewan sekolah SM Ken Hwa, Keningau. Dewan yang besar dan berhawa dingin tersebut boleh menempatkan sebanyak lebih 500 ahli forum. Upacara perasmian pada kali ini amat berbeza kerana tetamu kehormat, iaitu Datuk Peter Pang, yang merupakan Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, dan Lion Dr. Tan Tsu Kun, Ditrict Governor, telah dibawa masuk ke dalam dewan dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi iaitu Harley Davidson. Forum ini telah sempurna dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Peter Pang. Beliau turut menyumbangkan sebanyak RM 20,000. kepada Forum Organizing Committee. Setelah upacara perasmian tersebut selesai, kami telah dihidangkan 5 jenis makanan. ‘Opening Ceremony and Fellowship Nite’ ini turut menyaksikan bakat-bakat segelintir ahli forum seperti menyanyi, berlakon, menari dan sebagainya. Segalanya telah berakhir pada jam 11.30 malam.

Keesokan harinya pula, kami telah dihidangkan sarapan pagi dan seterusnya mendengar Forum Theme Talk daripada Forum Speaker Lion Alan Thoo yang merupakan Presiden bagi Lions Club of Damansara Metro, Kuala Lumpur. Seterusnya, pada jam 1.30 tengahari merupakan aktiviti luar. Kami telah dibawa ke Taman Perkelahan dan Rekreasi Keningau. Banyak aktiviti yang menyeronokkan telah kami ikuti, antaranya ‘commando crawl’, merentasi halangan, merentasi sungai dan pelbagai lagi acara sukaneka. Aktiviti luar ini telah berakhir pada jam 5.30 petang. 

Pada malam hari kedua, acara ‘Banquet Nite’ telah berlangsung di dewan yang sama. Semasa acara tersebut berlangsung, acara pemberian anugerah bagi tahun 2011-2012 juga turut diadakan. Pelbagai anugerah telah diberikan kepada Leo Club yang mempunyai kriteria-kriteria dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Dengan bangganya, sekolah kita telah memenangi tiga anugerah, iaitu Merit Club Award, Best Planning Award dan Special Achievement Award iaitu Best PR and Social Media Award. Anugerah-anugerah tersebut telah diberikan oleh District Governor Lion Dr, Tan Tsu Kun. Ia turut disaksikan oleh Lion Aloysius Yong. Kami turut disajikan dengan 6 lagi jenis makanan. Segalanya telah berakhir pada jam 12.45 tengah malam.

Pada hari ketiga, merupakan hari terakhir kami di forum ini. Pada jam 7.30 pagi, kesemua ahli telah diagihkan kepada 4 kumpulan dan diberikan tempat masing-masing di seluruh daerah Keningau. Kami telah diminta untuk membantu pihak Majlis Daerah Keningau untuk membersihkan setiap kawasan tersebut. Setelah selesai , kami telah balik ke hotel tersebut dan mendapatkan rehat secukupnya. Pada jam 10.30 pagi, upacara penutupan telah diadakan di Grand Ballroom Hotel Perkasa. Kami diminta untuk memberikan pendapatan dan komen mengenai forum tersebut. Upacara penutupan menyaksikan pemberian bendera Leo Forum kepada Timbalan District Governor Lion Chieng Eu Hea, yang merupakan Ditrict Governor bagi tahun 2012-2013. Upacara penutupan berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Setelah upacara penutupan, kami turut disajikan hidangan terakhir sebelum berangkat pulang ke daerah dan negeri masing-masing. Bas yang kami naiki tiba di hotel tersebut pada jam 4.00 petang dan kami tiba di Kota Kinabalu pada sekitar jam 6.45 petang. Ibubapa kami telah pun berada di situ sebelum ketibaan kami. 

Oleh yang demikian, saya mewakili Leo Club SMK Bahang Penampang, ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Pengetua Cemerlang, Puan Clari @ Clare Sikodol, serta pihak sekolah, atas sokongan dan kebenaran untuk kami menyertai forum ini. Leo Club sekolah kita merupakan satu-satunya Leo Club di daerah Penampang dan antara yang terbaik dan terpuji di negeri ini. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lions Club of Kota Kinabalu Penampang, yang merupakan hos dan tulang belakang Leo Club sekolah atas kerjasama, sokongan dan dorongan untuk kami sepanjang forum tersebut. Kami berharap lebih ramai lagi ahli Leo Club sekolah akan mengambil bahagian dalam forum yang akan datang pada tahun hadapan di Bintulu, Sarawak. Kami juga sangat berbangga kerana sekali lagi telah membawa nama sekolah dan bersinar di peringkat Antarabangsa.

Laporan disediakan oleh, 13 June 2012

 (JEREMY JOSEPH RYMAN)
President FY 2012-2013,
Leo Club of SMK Bahang Penampang,
District 308-A2,
Lions Clubs International.

17 June, 2012

Perkhemahan Unit Beruniform SMKB 2012


Perkhemahan Unit Beruniform SMK Bahang Penampang telah diadakan di Pusat Latihan Rela Tuaran dari 15hb - 17hb Jun 2012. Seramai 172 pelajar telah menyertai perkhemahan ini dengan dipimpin dan dilaksanakan oleh PK Kokum, guru-guru penyelaras Kokum, Setiausaha Kokum dan guru-guru penasihat setiap unit beruniform. Peserta terbaik telah dimenangi oleh adik Mohd Effendee dan adik Hirmalin. Tahniah kepada semua yang terlibat dan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan aktiviti ini. 

Gambar-gambar tidak akan dipaparkan kerana CD gambar tersebut akan dijual kepada peserta-peserta perkhemahan kelak. 

13 June, 2012

Pemilihan Finalist Sabah Folklore 2012


Pemilihan finalist untuk Sabah Folklore telah diadakan pada 13hb Jun 2012 di Dewan Kebudayaan Penampang. Pasukan SMKB telah mempersembahkan dua tarian - Traditional dan Kreatif. Persembahan mereka sungguh mantap dan baik. Namum demikian, hanya 6 pasukan saja terpilih seluruh Sabah untuk menjadi finalist Sabah Folklore dan hanya pasukan penari SMK Kolombong untuk kategori Sekolah Menengah yang telah terpilih menjadi finalist tersebut. Terima kasih kepada Puan Pengetua Cemerlang Puan Clari @ Clare Sikodol dan Encik Robert John yang telah hadir memberi sokongan moral mereka sehingga keputusan diumumkan. Penari SMK Bahang adalah di antara yang terbaik, teruskan usaha anda. Suatu hari kejayaan akan dikecapi!